Dengan bisnes dropship, anda boleh mulakan bisnes online dengan mudah dan jalankan bisnes dari mana-mana pun.
Kali ni kami kongsi 10 tip apa yang jangan buat dan kena buat. Jom kita mula!
Isi Kandungan
1. Jangan ‘buang’ harga untuk bersaing
Kebanyakan yang baru buat bisnes dropship banyak buat kesilapan ni. Hanya bersaing dengan tawarkan harga terlalu rendah. Ini bukan saja membunuh harga pasaran tapi membunuh bisnes sendiri.
Jika beza anda dengan pesaing cumalah perbezaan harga semata-mata, anda akan kehilangan bisnes dan keuntungan pada ketika seseorang menjual dengan lebih murah.
Anda akan dapati anda kalah dalam peperangan harga itu. Macam mana nak bersaing kalau ada pesaing jual harga dua tiga kali ganda lebih murah?
Penting tak harga? Penting.
Tapi adakah harga segala-galanya? Tak. Jika tidak, siapa yang jual paling murah akan jadi peniaga paling berjaya.
Jadi, selain daripada tawarkan sesuatu pada harga rendah, sentiasa cari cara untuk tawarkan lebih dan buat harga tinggi tu nampak lebih berbaloi.
Sama ada pengetahuan pasal produk, kepakaran, khidmat, tawaran secara pakej, penghantaran percuma atau apa-apa saja yang beri nilai kepada pelanggan.
Memang ada banyak lagi cara untuk tarik pelanggan selain bermain dengan harga.
2. Jangan jual benda yang dah ramai sangat jual
Jala pintas untuk gagal dalam bisnes online ialah jual barang laku keras sebijik sama dengan dengan ramai peniaga lain. Contohnya shawl pleated yang tengah in-trend ni.
Memang sekarang tengah trending, tapi niche fesyen ni antara niche yang kerap berubah.
Ramai sangat dah yang jual. Mungkin ramai orang pun dah ada produk ni, nak cari repeated customer pun bukannya senang.
Bila terlalu besar jumlah peniaga yang jual produk yang sama, persaingan sengit ni memaksa peperangan harga berlaku, seperti yang dah dijelaskan dalam tips no. 1 tadi.
Sampai tahap, bisnes hanya buat keuntungan untuk peniaga yang terima diskaun banyak daripada supplier sebab buat pesanan dalam kuantiti besar.
Walau macam tu pun, nilai untung masih kecil.
Jadi teruskan bacaan tentang tip seterusnya, pilih niche jualan anda.
Pemilihan niche jualan akan buat bisnes anda ada strategi yang lebih terjamin, seperti kembangkan pengetahuan tentang produk dan kemahiran anda dalam niche pilihan.
3. Fokus barang ikut niche
Salah satu kelebihan jalankan bisnes dropship ialah anda ada kebebasan untuk bereksperimen untuk buat pilihan barang jualan anda.
Dalam operasi kedai fizikal tradisional, produk yang dijual perlu ada stok terlebih dulu dan sebagai orang yang jalankan bisnes.
Malah anda perlu order dalam kuantiti pukal dan seterusnya sediakan senarai inventori dalaman.
Pekedai pula tak akan ambil stok melainkan barang yang betul-betul boleh datangkan keuntungan (dalam masa yang singkat).
Barang yang dirisaukan jadi lambakan dekat stor, pasar raya tak berani simpan banyak stok.
Misalnya barangan untuk peminat kelab bola. Barang macam ni laku masa menjelang liga sukan saja.
Luar masa liga susah nak jalan. Pekedai tak tahu produk ni boleh jual banyak mana, jadi mereka tak ambil risiko untuk order stok banyak sangat.
Tapi macam mana dengan bisnes online yang buat secara dropship?
Peniaga online yang berurusan dengan supplier secara dropship ni tak payah simpan stok siap-siap.
Dropshipper hanya bayar bila order dah masuk, maka tak perlu risaukan risiko yang sama macam kedai fizikal.
Dropshipper boleh saja letak pelita dalam senarai katalog di platform kedai online mereka tanpa risaukan apa-apa.
Satu-satunya kerugian ialah, masa yang digunakan untuk masukkan item seperti itu dalam katalog.
Jadi, ini buktinya dropshipper ada posisi yang unik untuk tawarkan produk yang kedai fizikal tak nak jual (atas faktor risiko).
Peniaga online yang bijak akan faham, dia susah nak bersaing dengan gedung gergasi (hypermarket) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan logistik.
Jadi, inilah kepentingan untuk jual barang berdasarkan niche dan pengkhususan yang gedung gergasi lain tak nak ambil risiko jual.
Baca sini untuk tahu lanjut tentang niche best untuk mulakan bisnes online.
4. Buat duit dengan barangan bermusim
Barang bermusim boleh jadi jadi tempat buat duit untuk bisnes dropship sebab pekedai biasa lazimnya tak cukup ruang/modal untuk ambil stok barang tu, risau kalau stok tersimpan lama sebab tak boleh jual.
Contohnya pekedai tak nak simpan barang yang berkaitan dengan perayaan dalam tempoh yang lama. Barang dekorasi seperti ketupat hiasan, pelita, dan hiasan dengan tulisan ‘selamat hari raya’.
Barang macam ni yang ambil ruang dan masa yang amat berharga.
Memang tak la pekedai nak bazirkan ruang dan masa semata-mata nak simpan barang tu.
Sebab kena tunggu raya tahun depan dan seterusnya untuk dijual semula. Tu pun kalau stok elok lagi untuk dijual.
Barang bermusim termasuk juga barang yang dicari hanya ketika musim perayaan (Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas), merchandise barang ketika temasya sukan, barang kembali ke sekolah dan sebagainya.
Anda boleh tandakan kalendar dan letak reminder siap-siap supaya tahun seterusnya anda boleh bersedia untuk buat duit dengan barangan bermusim ini.
Dengan cara ni, anda boleh bersedia lebih awal dan sapu bersih jualan barangan bermusim untuk bisnes online anda!
Cuba tengok gambar di bawah ni, banyak kan jumlah jualan?
5. Buat tawaran belian pakej
Antara strategi asas jualan barang ialah dengan gabungkan barang yang berkaitan bersama dan tawarkan secara pakej.
Untuk bisnes dropship, cara ini akan kurangkan kos penghantaran dengan berkesan, kerana semua barang datang dari gudang yang sama.
Pelanggan anggap mereka jimat kos penghantaran, maka mereka akan tertarik nak beli barang yang dah dipakejkan.
Makin banyak pelanggan beli, makin tinggi komisyen anda.
Anda ada kelebihan sebab boleh bersaing dengan tawaran harga pakej (yang nampak lebih berbaloi di mata pelanggan).
Jika anda nampak produk yang ada jualan yang bagus (tapi anda tak ada keuntungan yang bagus), cari produk lain yang orang mahukan bersama produk itu.
Kemudian gabungkan kedua-dua (atau mungkin lebih) produk.
Seterusnya, guna keuntungan yang besar daripada produk tambahan untuk seimbangkan kembali keuntungan kecil barang yang pertama tadi.
Strategi ini biasa digunakan oleh mana-mana pekedai. Mereka nak pembeli rasa ada nilai belian hebat berbanding harga yang mereka bayar.
6. Jual benda yang anda tahu
Salah satu cara terbaik untuk capai keuntungan yang lebih tinggi ialah jadi orang yang mahir tentang barang yang anda jual.
Ini bermakna anda kenal produk tersebut, tapi yang lagi penting, anda tau apa yang orang perlukan untuk barang tu, berdasarkan pengalaman anda sendiri sebagai pengguna.
Pengetahuan ni buat anda boleh:
- tulis sesuatu yang lebih meyakinkan dalam butiran tentang produk
- tawarkan khidmat pelanggan yang lebih baik
- buat lebih banyak jualan pakej berdasarkan barang yang anda syorkan untuk beli bersama
Anda tak perlu dapatkan sijil tertentu atau secara formal bergelar pakar pun.
Apa yang anda perlu lakukan ialah tahu lebih mendalam je berbanding pembeli atau penjual biasa.
Jadi, cuba renung balik tentang pengalaman peribadi anda yang anda dapat daripada hobi, keinginan dan minat anda selama ni.
Apa barang yang anda kerap guna?
Apa yang anda belajar ketika gunakan barangan tu; yang kebanyakan penjual sendiri tak tau?
Contohnya jika anda minat niche kecantikan. Sebagai pengguna anda sendiri tahu apa pembeli harapkan bila membeli.
Ia menjadi satu bonus jika anda berupaya untuk terangkan secara terperinci berkenaan bahan, allergic concern dan manfaat produk yang anda jual. Gunakan perkataan paraben-free, fragrance-free dan suitable for sensitive skin.
7. Cuba guna marketplace yang berbeza
Kebanyakan bisnes dropship ada pelbagai saluran jualan.
Maksudnya mereka jual di banyak tempat dalam platform online ni.
Beberapa produk boleh dijual lagi banyak atau dijual pada harga yang lagi tinggi di Lazada, berbanding di Shopee.
Ada juga barang yang lebih laris di kedai Facebook sebab setiap pasaran tarik demografi yang berbeza dan dipanggil melalui teknik pemasaran yang berbeza.
Namun akhirnya, sebab terbesar untuk bereksperimen dengan pasaran yang berbeza ialah untuk capai kepelbagaian pelanggan.
Kenapa nak jual pada satu tempat dan buat anda kehilangan pelanggan penting,kan?
Jangan sia-siakan sebarang peluang. Selagi ada tempat kita boleh tembus untuk buat bisnes dropship, kita jual.
8. Sediakan khidmat pelanggan yang bagus
Ketakutan terbesar pelanggan yang beli barang online, ialah dapat barang yang tak memuaskan hati mereka.
Mungkin pelanggan tak puas hati disebabkan kerosakan ketika penghantaran, kualiti barang itu sendiri, tempoh menunggu pihak courier hantar parcel mereka dan macam-macam lagi.
Tapi disebabkan anda dah jimat banyak masa dengan buat bisnes dropship, tak ada alasan untuk tak sempat berikan khidmat pelanggan yang paling mantap.
Jika pelanggan hubungi anda melalui e-mel atau mesej respons (di chatbox) yang pantas dan peribadi akan redakan kerisauan mereka dan galakkan mereka untuk terus membeli-belah dengan anda.
Pastikan pelanggan sentiasa tahu butiran berkaitan pesanan mereka pada setiap tahap; sahkan penerimaan, tarikh penghantaran, dan sebagainya.
Permainannya di sini ialah, kepercayaan dan khidmat pelanggan yang tip top, barulah mudah anda nak dapatkan maklum balas positif pelanggan.
Lebih-lebih lagi, setiap interaksi dengan seorang pelanggan perlu diambil sebagai peluang untuk tunjukkan kemahiran anda (seperti dalam tip no. 6) dan galakkan pembeli ulang-ulang beli dengan bisnes dropship anda (berbanding pesaing), walaupun pesaing tawarkan harga yang lebih murah.
9. Bereksperimen dengan caj penghantaran
Satu kajian yang dijalankan oleh Amazon mendapati 46% pelanggan akan abaikan troli beli-belah mereka jika tiada tawaran penghantaran percuma.
Manakala, 75% bersetuju akan berbelanja dengan lebih lagi jika ada tawaran penghantaran percuma.
Angka-angka ini bukti; betapa berkuasanya pengaruh tawaran penghantaran percuma.
Ini juga bukti, kesan psikologi caj penghantaran terhadap corak pembelian pelanggan.
Makin banyak tawaran penghantaran percuma, makin rancak pelanggan membeli.
Walaupun supplier dropship anda mengenakan bayaran penghantaran penghantaran, anda tidak semestinya perlu kenakan caj kepada pelanggan anda sendiri.
Sebaliknya, anda hanya boleh serap kos penghantaran ke dalam harga yang anda kenakan dan kemudian iklankan penghantaran percuma.
Atau boleh juga tetapkan pembelian minima untuk tawaran penghantaran percuma tu. Situasi menang-menang antara anda dengan pelanggan.
Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan mungkin sama, kesan psikologi penghantaran percuma tidak boleh dipandang remeh.
Daya tarikan penghantaran percuma amat kuat apabila tawarkan harga pakej (seperti dalam tip no. 5).
Jika pelanggan anda sudah agak berminat dengan produk berkaitan, kenapa tak tawarkan kepada mereka dalam satu pakej dengan produk asal (pada kos yang lebih tinggi sedikit)…
…kemudian di hujungnya tawarkan penghantaran percuma?
Anda mungkin terkejut melihat berapa ramai orang yang menggunakan pilihan ini.
Pelanggan rasa bahawa mereka belanjakan duit mereka untuk nilai maksimum.
10. Optimumkan butiran produk
Daripada perkataan yang anda gunakan dalam penerangan produk anda kepada latar belakang foto yang anda muat naik, kualiti product listing anda membuat perbezaan yang besar, tidak kira sama ada anda menjual di website anda sendiri atau di Shopee atau Lazada.
Banyak penjual hanya akan copy & paste penerangan dan foto produk pengeluar (cara paling cepat untuk diabaikan dalam pasaran yang sesak).
Lebih baik tulis sendiri dan gunakan foto anda sendiri.
Tak dinafikan mungkin ambil masa lebih lama, tetapi ia menarik perhatian, dan itulah tujuannya.
Lebih baik lagi — dan walaupun anda tidak perlu simpan stok produk untuk jual— anda mungkin ingin boleh pertimbangkan untuk order sampel mana-mana produk yang anda sedang cadang untuk jual.
Dengan cara itu, anda boleh ambil gambar produk anda sendiri yang unik dan dapatkan rasa yang lebih baik untuk terangkan produk tersebut.
Foto anda tu bukan saja buat product listing anda nampak menonjol berbanding ejen dropship yang lain, malah ada potensi tinggi untuk tarik ramai orang tengok dan luang masa lebih lama di e-store anda.
Kalau anda baca artikel kami sebelum ni, anda akan tau cara ambil gambar flat lay nampak macam pro.
Kesimpulan – Teruskan Cuba dan Kaji untuk Capai Target Bisnes Dropship
Setiap bisnes itu unik. Tak ada satu cara yang boleh selesaikan semua jenis bisnes.
Cara terbaik untuk pasarkan produk anda disertakan dengan percubaan dan kesilapan.
Berdasarkan kesilapan yang memalukan dan kekecewaan inilah anda boleh tambah baik lagi apa yang kurang.
Cuba dulu 10 tip yang kami kongsikan ni, peluang anda dalam bisnes dropship akan meningkat dengan ketara.
Sebaik sahaja anda mula memahaminya, mungkin ada perlukan pembelajaran seterusnya.
Kartel Digital Academy ada courses dan servis lain supaya anda boleh terus tajamkan kemahiran anda.
Semoga boleh bantu anda capai target bisnes anda.