Bisnes online bukan sesuatu yang asing, lebih-lebih lagi gelombang wabak pandemik Covid-19 telah banyak ‘mendesak’ para peniaga beralih ke platform eCommerce demi kelangsungan perniagaan.
Walau tiada kedai fizikal, peniaga online wajib daftar bisnes mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kalau anda seorang peniaga online dan masih belum daftar bisnes anda dengan SSM, boleh baca langkah demi langkah cara untuk daftar bisnes dengan SSM secara online.
Nak tau kenapa pentingnya daftar bisnes online? Jom sambung baca.
Isi Kandungan
1. Keperluan Undang-undang
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu patuh dengan kerangka undang-undang negara.
Menurut Akta Pendaftaran perniagaan 1956 (APP 1956), perniagaan meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud mendapatkan keuntungan wajib berdaftar.
Banyak penipuan berlaku dalam aktiviti jual beli online. Statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes jenayah siber ini makin melonjak naik setiap tahun.
Penipu ini boleh menyamar sebagai peniaga online ataupun pelanggan; mengambil kesempatan terhadap mangsa yang naif.
Dalam satu laporan akhbar, jumlah kes jenayah ini meningkat hampir 80% berbanding 3,511 kes direkodkan sepanjang tahun 2019 dengan kerugian sebanyak RM28 juta.
Bukan sahaja pembeli yang menjadi mangsa penipuan, malah ada peniaga turut menjadi mangsa.
Apabila bisnes online didaftarkan, ia memudahkan pihak berwajib mengambil tindakan susulan jika berlaku kes penipuan atau isu-isu lain.
Maka, pendaftaran perniagaan ini melindungi kedua-dua pihak; baik peniaga online mahupun pelanggan. Ini akan mewujudkan aktiviti jual beli online yang lebih selamat dan terjamin.
2. Lambang Integriti dan Kepercayaan
Peniaga online yang berdaftar boleh tayangkan nombor pendaftaran di platform jualan masing-masing. Dokumen ini juga menjadi salah satu tarikan pelanggan untuk rasa lebih selamat berurusan dengan perniagaan online anda.
Nak tambah lagi tahap kepercayaan, dapatkan status BizTrust.
BizTrust adalah piawaian yang boleh diperolehi oleh entiti perniagaan dalam talian melalui SSM, yang mengesahkan bahawa entiti itu telah mematuhi ciri-ciri Prinsip dan Kriteria yang ditetapkan termasuk pendaftaran perniagaan, keselamatan dalam talian dan perlindungan maklumat.
Anda mungkin belum pernah dengar tentang SSM BizTrust yang diperkenalkan oleh KPDNHEP sejak tahun 2017 ini.
Yang menariknya, pendaftaran masih dibuka sehingga 31 Disember 2021 dan ia adalah PERCUMA.
3. Memudahkan Urusan dan Pinjaman dengan Bank
Apabila anda menjalankan perniagaan online, sebaik-baiknya, aliran duit perniagaan dilakukan menggunakan akaun rasmi syarikat.
Nak buka akaun syarikat di mana-mana bank pun perlukan pendaftaran SSM.
Dengan adanya pendaftaran perniagaan, anda juga akan lebih mudah untuk buat pinjaman bagi kembangkan lagi perniagaan.
4. Kembangkan Perniagaan
Kepercayaan pihak pembekal dan pengedar juga diperlukan untuk kembangkan perniagaan. Jika ketika perniagaan kecil dulu, anda beli stok tidak sebanyak apabila anda menggandakan operasi.
Berbalik kepada menarik perhatian dan mendapatkan kepercayaan pelanggan, kepercayaan bakal pekerja juga penting.
Pada suatu hari nanti apabila perniagaan online anda berkembang, anda perlu bersedia untuk mengupah lebih ramai pekerja.
Tentunya para calon pekerja yang berminat untuk menyertai anda, akan membuat semakan latar belakang profil dan sejarah perniagaan online anda.
Jika perniagaan online anda telah membuat pendaftaran SSM lebih awal, hal ini lebih memudahkan anda untuk mendapatkan pekerja. Perniagaan online yang berdaftar nampak lebih teratur, telus dan lebih dipercayai.
5. Perlindungan Harta Intelek
Ramai yang terlepas pandang tentang perlindungan harta intelek sedangkan perlindungan ini dapat mengelakkan hak anda dicuri oleh pihak tak bertanggungjawab.
Bayangkan, penat-penat anda usahakan laburkan duit, tenaga dan masa untuk naikkan nama perniagaan online; ada peniru yang gunakan nama yang lebih kurang sama dan curi pelanggan anda.
Amboi, senang betul buat duit tiru kerja keras orang lain!
Atau ciptaan anda ditiru. Sedangkan produk yang anda hasilkan itu gunakan banyak modal untuk dibangunkan. Sia-sia saja buat R&D tapi dikebas orang. Akhirnya anda juga yang rugi kerana terlewat untuk lindung hak anda sendiri.
Contohnya ada pertikaian antara dua jenama sos berperisa tiram keluaran Sri Nona yang menggunakan cap dagangan Adabi.
Dalam kenyataan akhbar Adabi Consumer menyatakan:
“Sos Tiram Adabi” yang terdapat atau dijual secara runcit di pasaran tidak dihasilkan atau dikeluarkan oleh Adabi Consumer Industries Sdn Bhd tetapi oleh pihak ketiga.
Penggunaan berterusan oleh pihak ketiga tersebut akan nama dan cap(-cap) dagangan “Adabi” bagi pengeluaran dan penjualan “Sos Tiram Adabi” adalah hal perkara yang menunggu penyelesaian kes-kes rayuan di Mahkamah Rayuan, Malaysia.
Bukan produk dan jenama sahaja yang boleh dilindungi sebagai harta intelek, ada banyak lagi perkara yang anda perlu lindungi juga.
Melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), perkara-perkara berikut boleh lindungi sebagai harta intelek anda.
Kesimpulan – Daftarkanlah Bisnes Online Anda
Kalau nak mulakan bisnes, buatlah secara serius supaya usaha anda tak sia-sia.
Uruskan perniagaan anda sebaiknya, beri perlindungan untuk jaminan pada masa akan datang.
Ramai pihak yang suka ambil kesempatan lebih-lebih lagi ketika bisnes anda dah mula membuahkan hasil.
Kalau tak tau cara nak daftarkan bisnes online anda, boleh baca artikel ini. Kami kongsikan langkah demi langkah.