Cara Buat Nama Perniagaan yang Menarik, Cantik & Catchy

Nama Perniagaan yang Menarik, Cantik & Catchy

Nama perniagaan SANGAT PENTING untuk pelan jangka masa panjang. Terutamanya untuk impak yang melibatkan aktiviti pemasaran dan penjenamaan.

“When people use your brand name as a verb, that is remarkable.”

–Meg Whitman

Jadi, sebelum beri nama perniagaan, jom kita tengok ciri-ciri yang penting masa supaya nama tu MENARIK, CANTIK & CATCHY.

Kemudian kita boleh pilih cara untuk mencapai ciri-ciri nama perniagaan yang bagus.

Ciri-ciri Penting Nama Perniagaan

1. Nama yang singkat

Nama yang singkat bukan saja mudah diingati, malah mudah dieja jika ingin buat carian di enjin pencarian.

Contohnya hypermarket Giant. Hanya satu patah perkataan, tapi kuat menggambarkan identiti pasar raya ini sebagai ‘gergasi’ dalam niche perniagaannya.

Tentunya perniagaan yang telah beroperasi sejak 1944 ini, telah melalui beberapa fasa penjenamaan semula.

Dari nama yang panjang kemudian disingkatkan kepada satu perkataan saja. 

Bukanlah nama yang panjang langsung tak menarik tapi nama yang singkat ada banyak kelebihan lain.

Dalam satu artikel Harvard Business Review, pelabur cenderung sukakan nama perniagaan yang senang ingat dan singkat

Cuba tengok nama-nama perniagaan yang besar tempatan.

Untuk niche fesyen kita ada Calaqisya, dUCk, Ariani, Jakel & Naelofar.

Satu patah perkataan saja. Ringkas dan lagi senang nak ingat, kan?

2. Ejaan nama yang unik

Jika kita teliti untuk ciri yang pertama tadi, tentunya agak sukar diikuti kerana perkataan dalam kamus agak terhad manakala jumlah perniagaan serata dunia saja telah melebihi 213 juta syarikat.

Lama-kelamaan, perkataan yang ada dalam kamus pun boleh habis dipakai kalau semua perniagaan nak pakai satu perkataan (yang ada maksud).

Jadi apa lagi cara yang ada?

Gunakan ejaan yang unik agar nama perniagaan anda dapat dibezakan dengan perkataan biasa yang lain.

Contohnya nama Flickr. 

Flickr ialah sebuah perniagaan yang merangkumi image & video hosting. Perniagaan yang diasaskan pada tahun 2004 ini telah ada 112 juta pengguna serata dunia. 

Flickr dieja sebegitu dan bukannya Flicker. Huruf ‘e’ digugurkan daripada perkataan flicker.

Flicker dalam istilah fotografi/videografi ialah gambar/video yang kurang jelas kerana mengalami gegaran atau gangguan flash.

Pengguguran huruf ‘e’ masih memberi sebutan nama Flickr sebagai flicker. Ejaannya saja unik, mampu tonjolkan kelainan.

Di negara kita BuwatJe antara perniagaan yang gunakan ejaan yang unik.

Perkataan ‘buat’ diberi huruf konsonan tambahan ‘w’ menjadikan ejaan nama Buwat Je berbeza.

Sebutan ‘Buwat’ dengan ‘buat’ masih kedengaran sama.

Niche perniagaan BuwatJe ialah TikTok strategist specialist.

Ketika TikTok menjadi platform pemasaran digital yang baharu, ramai yang takut-takut nak memulakan langkah di TikTok.

Pengasas BuwatJe, Chemell selalu kongsikan tip dan content menarik di akaun TikTok miliknya yang menjual pakaian wanita. 

Pada akhir video, Chemell akan sebutkan slogan, “Dapat sesuatu? Buat je!”

Slogan ini dibuat untuk galakkan pelayar TikTok untuk berani mencuba.

Lama-kelamaan, satu komuniti BuwatJe ditubuhkan dan berkembang sebagai satu perniagaan coaching ilmu dan strategi pemasaran melalui TikTok.

3. Word play

Permainan kata ini banyak digunakan oleh nama-nama perniagaan luar negara. Puns ialah satu seni memberi maksud tersirat dalam suatu perkataan atau ayat.

Contoh nama perniagaan tempatan, Chatime. Gabungan Cha (teh) + Time (masa). Masa mengeteh la kiranya.

Tapi boleh juga dianggap Chat (borak) + Time (masa). Masa borak-borak lepak dengan keluarga dan kawan-kawan.

Perniagaan Chatime memang keluarkan pelbagai minuman berasaskan teh.

Pada masa yang sama mereka memberi konsep produk mereka juga satu bahagian yang penting dalam kehidupan kita, bonding time dengan orang sekeliling.

Permainan perkataan ‘tea’ selalu saja digunakan dalam copywriting Chatime.

Health-tea (healthy), quali-tea (quality) dan seha-tea (sehati).

Menarik kan nama macam ni? 

4. Menggambarkan niche

Jika anda gunakan ciri nama seperti ini, ia bagus untuk beri idea pantas tentang perniagaan anda letak saja:

nama + niche perniagaan.

Perniagaan sebegini biasanya kita boleh tengok pada penerbitan akhbar atau buku.

Misalnya Berita Harian, Harian Metro, Majalah Mingguan Wanita, Utusan Malaysia, News Straight Time, Komik Misi dan Penerbitan Pelangi.

Nama perniagaan yang tunjukkan secara langsung tentang niche dan produk.

Contoh lain, Pak Mat Western; asalnya satu kedai makan di Pulau Pinang yang menghidangkan pelbagai makanan barat.

Sekarang ni Pak Mat Western dah melebarkan perniagaan dalam memproses makanan sejuk-beku dan sos dengan nama yang sama.

Kalau anda nak gunakan cara ni, apa nama perniagaan anda?

5. Gunakan nama tokoh

Gunakan nama tokoh yang berkaitan dengan niche perniagaan anda.

Tapi hati-hati jika anda gunakan nama orang yang masih hidup. 

Ada garis panduan untuk para pemilik perniagaan untuk daftarkan perniagaan dengan SSM.

Penggunaan nama tokoh-tokoh terkenal perlu mendapat kebenaran daripada individu berkenaan atau waris.

Nama-nama yang dikaitkan dengan tokoh sejarah dalam dan luar negara yang sedia dikenali umum di bidang masing-masing seperti nama Ibnu Sina, Cheng Ho, Marco Polo, Raffles, Parameswara, Hang Tuah dan seumpamanya adalah dibenarkan.

Sebagai contoh, perniagaan tempatan yang gunakan cara ini ialah Telekung Siti Khadijah.

Saiditina Siti Khadijah RA ialah isteri pertama Nabi Muhammad SAW. Tulang belakang perjuangan dakwah Nabi SAW.

Tokoh wanita penting dalam penyebaran Islam dan seorang yang disegani atas kemajuan perniagaannya.

Nama ini sangat cantik dan ngam untuk perniagaan telekung, yakni satu kelengkapan ibadah solat buat Muslimah.

Baru-baru ini Siti Khadijah telah menambah barisan produk lain untuk kelengkapan lelaki Muslim.

Anda rasa okey ke kalau line-up kelengkapan ibadah lelaki turut gunakan nama Siti Khadijah? Atau perlu nama lain?

Cuba cari tokoh-tokoh yang berkaitan dengan niche perniagaan anda. Mana tahu anda boleh buat nama yang MENARIK, CANTIK & CATCHY lepas ni.

Dah faham apa tu nama perniagaan yang menarik, cantik & catchy?

Jom kita teruskan dengan cara buat nama perniagaan macam contoh-contoh yang kita dah bincangkan tadi.

Cara Buat Nama Perniagaan

1. Pilih Nama Unik

Periksa sama ada nama yang anda pilih telah digunakan oleh perniagaan lain atau tidak.

Kita tak nak ada kekeliruan dengan penggunaan nama perniagaan kita dengan perniagaan pihak lain.

Konflik sebegini pernah berlaku antara syarikat Apple yang mengeluarkan peranti iPhone dengan Apple Records sebuah syarikat rakaman lagu yang diasaskan oleh band terkenal The Beatles.

Steve Jobs perlu melalui pelbagai rundingan dan perjanjian kerana isu hak cipta dan trademark.

Apple Computer ditubuhkan lewat 8 tahun berbanding Apple Corp (yang juga dikenali sebagai Apple Records).

Hati-hati bila pilih nama perniagaan yang hampir serupa dengan perniagaan sedia ada yang lain. Isu undang-undang tak mudah dan tak murah untuk diselesaikan.

Untuk nama perniagaan tempatan, ada dua nama perniagaan yang bagus dijadikan contoh sebelum memilih nama perniagaan.

Nasi Kak Wok juga telah didaftarkan dengan MyIPO untuk trademark dan perniagaan lain tidak dibenarkan menggunakan nama tersebut dan mengelirukan pengguna.

Sebarang pelanggaran harta intelek ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Hak menggunakan nama Nasi Kak Wok menjadi hak eksklusif oleh pemegang hak intelek itu.

Lain situasinya apabila nama Daging Harimau Menangis cuba dipatenkan oleh Aunty Tini Kitchen.

Menurut MYIPO, nama daging harimau menangis telah digunakan bertahun-tahun oleh peniaga lain dan pihak pemohon (Aunty TIni Kitchen) tidak boleh diberi hak eksklusif untuk syarikat tersebut. 

Inilah pentingnya pemilihan nama perniagaan yang unik.

Apabila nama perniagaan kita unik; kita dapat melindungi nama perniagaan kita agar tak dapat ditiru oleh pihak lain. 

Selain tu, cari nama yang sesuai untuk didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ada beberapa hal yang perlu diambil berat juga. Sensitiviti masyarakat tempatan dan sebagainya.

Penting juga untuk pemilik perniagaan untuk semak juga domain nama perniagaan. Walaupun anda rasa belum nak mulakan lagi laman web sendiri.

Zaman sekarang kalau kita tak berada dalam platform digital, perniagaan kita seolah-olah tak wujud di dunia nyata.

Domain yang baik sepatutnya hampir dengan nama perniagaan yang dipilih.

Antara laman web yang boleh digunakan untuk semak domain, Wix.

2. Reverse-dictionary

Ini antara cara yang disarankan oleh Jason Calacanis, seorang angel investor di Amerika Syarikat.

Ketika sesi brain-storming untuk nama perniagaan, senaraikan niche, produk, visi, misi atau apa-apa perkataan yang menggambarkan perniagaan.

Cari perkataan-perkataan yang dipilih di OneLook dan ia akan senaraikan perkataan yang seerti atau hampir sama konsepnya. 

Perkataan yang sama erti ni boleh dijadikan pembayang dalam pemilihan nama perniagaan.

3. Gunakan auto-generate tool

Kalau dah sehabis daya fikir tapi masih tak jumpa nama yang memenuhi ciri-ciri menarik, cantik & catchy, boleh cuba binta bantuan AI (artificial intelligence) untuk selesaikan.

Ada beberapa auto-generate tool yang boleh digunakan secara percuma.

Antaranya, Shopify menawarkan business name generator secara percuma.

Auto generator tool ini cuma mencadangkan, tak semestinya cadangannya harus kita ambil bulat-bulat.

Ketelitian kita sebagai pemilik perniagaan masih diperlukan.

Rujuk semula ciri-ciri nama perniagaan yang menarik, cantik & catchy yang di atas tadi.

Kesimpulan: Mudah Je Letak Nama Perniagaan

Kartel Digital tonjolkan 5 ciri nama perniagaan yang menarik, cantik & catchy dan 3 cara untuk dapatkan nama perniagaan best macam tu dengan mudah!

Ini cuma tip ringkas dan mudah untuk letak nama perniagaan. Terpulang kepada anda untuk buat keputusan dalam menentukan nama perniagaan anda.

Memang ada banyak cara lagi untuk letak nama perniagaan, tapi kita mulakan dengan yang ini dulu la ya.

Dah dapat idea nak letak nama apa untuk perniagaan anda? Atau masih ada masalah nak buat nama perniagaan?

Cuba komen dan kongsikan dekat ruang komen.

Boleh kita belajar sama-sama cara buat nama bisnes yang menarik, cantik & catchy!

Share this!

Picture of Ainul Tajul

Ainul Tajul

Penulis kandungan sepenuh masa di Kartel Digital Sdn. Bhd. Berpengalaman sebagai pemasar digital, editor, pencipta kandungan, penulis iklan, pengurus acara, tutor, dan konsultan/auditor. Minat sains & teknologi, media sosial dan penulisan sastera kreatif.

PANDUAN PERCUMA

6 Figure Blogging Gameplan eCover

KETAHUI GAMEPLAN SAYA BUAT INCOME 6-ANGKA DARI BLOG!

Dapatkan eBook eksklusif yang mengandungi ‘failed-proof’ gameplan untuk anda mula bisnes online from scratch, dan direka khusus untuk anda yang busy tapi nak buat side income online.

Ia adalah hasil dari pengalaman, pembelajaran, dan eksperimen bertahun, sehingga saya boleh buat income dengan konsisten, 100 peratus online, secara seorang diri.